Siaran Media: 19 PESERTA DARI 6 ORGANISASI TERIMA SIJIL TAMAT PROGRAM TRAIN THE TRAINER BAGI ISYARAT DAN KOMUNIKASI KERETAPI HASIL DARI PROGRAM KOLABORASI INDUSTRI

22 Aug 2016

BATU GAJAH, 15 OGOS 2016 – Yang Berbahagia Dato’ Chua Kok Ching, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengangkutan Malaysia hari ini menyampaikan Sijil Tamat Program Fasa 1 Train The Trainer (TTT) bagi Modul Isyarat dan Komunikasi Keretapi kepada 19 peserta latihan yang terdiri daripada kakitangan, pensyarah, jurulatih, jurutera dan juruteknik dari organisasi seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Politeknik Malaysia (Politeknik), Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (Kolej Komuniti), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC).  Majlis tersebut telah berlangsung di Akademi KTMB di Batu Gajah, Perak turut dihadiri oleh Presiden KTMB.  Lt. Kol Dato' Sarbini bin Tijan (B), Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agenci Berhad (TDA) Major Zailani Safari (B) dan wakil-wakil agensi yang lain.

Program TTT ini merupakan sebahagian daripada projek Pusat Kecemerlangan Rail (Rail Centre of Excellence (RCOE)) yang dipacu oleh TDA bagi meningkatkan program pembangunan insan dalam industri keretapi. Program TTT ini adalah kerjasama di antara Kerajaan Malaysia, melalui TDA, dan Thales Communication System, France (Thales) terhasil dari Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Program (ICP)) tidak langsung yang tercetus dari perolehan kenderaan berperisai (AV-8) oleh Kementerian Pertahanan Malaysia. Fasa kedua TTT akan bermula pada 19 September 2016 di Portugal selama 4 bulan. Menggunakan pendekatan ICP, semua modul pembangunan, kemudahan latihan dan kos penerbangan ditanggung oleh pihak Thales.

Pada majlis yang sama, turut diadakan acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara TDA bersama syarikat tempatan, ASAP Mobility Sdn Bhd, dan acara menandatangai perjanjian di antara TDA, KTMB dan penyedia ICP dari negara China, CRRC Zhuzhou Electric Locomotive Co. Ltd. China. Kerjasama di antara syarikat-syarikat tersebut diharapkan akan memajukan lagi industri keretapi di Malaysia khususnya, dan di negara-negara Asia amnya.  Kesemua pihak yang terlibat melihat perlaksanaan ICP ini sebagai peluang mereka mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih jauh.

TDA yang ditubuhkan di bawah naungan Kementerian Kewangan Malaysia pada Mac 2015, bertanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan ICP mengikut proses dan polisi yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan. Melalui pelaksanaan ICP, beberapa program yang menjadi asas kepada aktiviti pembangunan industri iaitu program pembangunan insan, pemindahan teknologi, pembangunan R&D, pelaburan terus asing (FDI) dan penyediaan pasaran bagi produk tempatan. Selain daripada syarikat tempatan, penglibatan syarikat luar negara turut membantu memperkasa kebolehupayaan dan kompetensi tempatan dalam mengembangkan industri serta menembusi pasaran global.

Selain dari itu, pelaksanaan ICP di Malaysia telah mencapai angka melebihi 50 program dengan 286 projek membawa nilai ekonomi keseluruhan sebanyak RM40 bilion dan program-program tersebut dijangka tamat pada atau sebelum tahun 2020. Sebanyak 85 syarikat tempatan majoritinya adalah Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) telah menjadi penerima manfaat program ICP termasuk Akademi KTMB (MyRA). Lebih dari 100 syarikat tempatan telah dikenalpasti sebagai syarikat berpotensi untuk menjadi penerima manfaat ICP tersebut.

Major Zailani mengharapkan lebih banyak syarikat-syarikat tempatan akan berdaftar dengan TDA sebagai syarikat berpotensi yang boleh menjadi penerima manfaat ICP.

Disediakan oleh:

Unit Komunikasi Korporat, TDA

15 Ogos 2016, Putrajaya

Author:webmaster 
webmaster
Share:
All rights reserved 2021 Technology Depository Agency Berhad. Web Design
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram