TDA Logo

Press Release: TDA, POLITEKNIK ANJUR PROGRAM KESEDARAN REL ZON SABAH

16 Sep 2017

 

KOTA KINABALU, 14 September 2017 - Technology Depository Agency (TDA) bersama-sama Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia telah menganjurkan National Railway Awareness Programme Zon Sabah pada  hari ini yang bertempat di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu Sabah.

Program ini telah dirasmikan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah disaksikan oleh En. Azman Omar, Pengarah Kanan, Industry Development & Advisory Division, TDA dan Dr. Mohammad Naim bin Yaakub, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pendidikan Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan dan gambaran keseluruhan mengenai perkembangan dan jaminan pekerjaan dalam Industri Rel di Malaysia.  TDA merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia yang melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP) bersama-sama dengan penggiat industri seperti KTMB, Thales, CKM Landas, Asian Rail Academy dan lain-lain, menawarkan modul “Railway Rolling Stock and Signaling & Communication” untuk dilaksanakan di institusi pendidikan terpilih termasuk Politeknik mengikut piawaian dan keperluan pasaran semasa.

Jabatan Pendidikan Politeknik telah mengambil inisiatif melancarkan siri jelajah di enam (6) politeknik terpilih seluruh negara bermula dengan Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra, Kedah pada awal tahun ini.  Politeknik Kota Kinabalu menjadi lokasi terakhir bagi siri jelajah dalam usaha memberi kesedaran tentang peluang pekerjaan dalam industry rel bukan sahaja kepada pelajar dan pensyarah politeknik malah semua institusi pendidikan yang berhampiran.

Menurut En. Azman Omar, Pengarah Kanan, Industry Development & Advisory Division, TDA, program ini adalah salah satu inisiatif bersama untuk menutup jurang dalam keperluan modal insan dimana tenaga kerja industri rel sediaada ialah kira-kira 18,000 pekerja dan tenaga kerja yang diperlukan sehingga tahun 2030 adalah kira-kira 68,000 pekerja.

“Dengan pertumbuhan pesat dalam industri rel, Kerajaan dijangka akan membelanjakan lebih dari RM150 bilion hingga tahun 2022 bagi tujuan membangunkan infrastruktur dan sistem rel di Malaysia.  Dengan adanya modul latihan rel di institusi pendidikan, kita memenuhi tunggak penting dalam Rancangan Malaysia ke-11 dalam meningkatkan pembangunan modal insan sekaligus mendorong negara kita untuk mencapai kemajuan untuk menjadi negara maju,” tambah En Azman yang mewakili Dato’ Zailani Safari, Ketua Pegawai Eksekutif TDA.

Sementara itu, Dr. Mohammad Naim dalam ucapannya berkata, kolaborasi dengan industri bukanlah satu pilihan tetapi suatu kemestian kerana industri memainkan peranan penting dalam membekalkan pengalaman bekerja kepada pelajar-pelajar Politeknik khususnya.

“Saya yakin cara ini dapat memastikan kita akan berjaya membekalkan tenaga kerja yang memenuhi kehendak spesifik industri.  Jabatan Pendidikan Politeknik juga komited dalam usaha pembangunan kurikulum dan program khusus dalam bidang rel.  Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah menambah kursus baharu di bawah Program Diploma Kejuruteraan Mekatronik, iaitu kursus Signalling & Communication selaras dengan keperluan industri rel ini”, tambah Dr. Mohammad Naim.

Pengisian National Railway Awareness Programme ini termasuk forum yang dianjurkan oleh TDA dan disertai oleh SMH Rail, CKM Landas, Thales, CMC Engineering dan Keretapi Tanah Melayu Berhad. Forum tersebut membincangkan pembangunan industri rel secara umum termasuk sistem operasi rel dan teknologi industri ini di dalam dan di luar negara.

Turut hadir adalah ketua-ketua jabatan dan agensi, wakil industri, pensyarah dan pelajar IPTA dan IPTS sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

###

Untuk maklumat lanjut mengenai Kenyataan Media ini, sila hubungi:

Nama                            Rofidah Azman

Tel                                +60122432010

Emel                             wanrofidah@tda.my

Laman sesawang:           www.tda.my

Author:webmaster 
webmaster
Share:
All rights reserved 2021 Technology Depository Agency Berhad. Web Design
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram